KOTA KINABALU: Sambutan Majlis Gongxi Raya Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) tampil sebagai wadah signifikan dalam mempererat jalinan silaturahim serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan warga kerja dan jemputan.
Pengerusi IDS, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun berkata, penganjuran yang menggabungkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina itu mencerminkan keunikan masyarakat majmuk di Sabah dan Malaysia yang terus hidup dalam suasana harmoni serta saling menghormati.
“Majlis seperti ini membuka ruang untuk kita berkumpul dalam suasana penuh kemesraan dan kekeluargaan. Ia bukan sekadar menikmati juadah seperti ketupat, rendang dan pelbagai hidangan, tetapi menjadi simbol kesyukuran, perkongsian rezeki serta pengukuhan hubungan,” katanya.
Menurut beliau, tradisi Yee Sang yang sinonim dengan Tahun Baharu Cina turut membawa makna simbolik terhadap harapan baharu, kemakmuran dan kejayaan.
“Ia melambangkan penyatuan serta iltizam untuk terus melangkah seiring sebagai sebuah keluarga kerja yang harmoni, saling menyokong dan komited mencapai kecemerlangan dalam setiap amanah,” tambahnya.
Azizah turut menegaskan bahawa penganjuran majlis seumpama ini mampu memperkukuh nilai kebersamaan dan perpaduan yang perlu terus dipupuk dalam kehidupan seharian, sama ada di tempat kerja mahupun dalam masyarakat.
“Di sebalik kesibukan tugasan harian, kesempatan seperti ini memberi ruang untuk kita berhenti seketika, mengeratkan silaturahim dan menginsafi bahawa kita bukan sekadar rakan sekerja, tetapi sebuah keluarga besar,” katanya ketika berucap pada Majlis Gongxi Raya IDS 2026 di Wisma IDS, di sini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa dunia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk pergolakan global, konflik peperangan, ketidaktentuan ekonomi, krisis iklim serta turun naik harga minyak.
“Dalam apa jua keadaan, kita harus sentiasa bersyukur atas nikmat keamanan dan kestabilan yang dikecapi. Amalan kesederhanaan serta kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan amat penting,” katanya.

KENANGAN …. Azizah bersama warga kerja IDS pada Majlis Gongxi Raya IDS 2026 di Wisma IDS, Kota Kinabalu.









