PGRS perkukuh struktur baharu, Duman yakin GRS mampu tawan Sepanggar

KOTA KINABALU: Penstrukturan semula Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) daripada 74 kepada 26 bahagian dilihat sebagai langkah strategik yang mampu memperkukuh organisasi parti serta memperkemas gerak kerja menjelang pilihan raya akan datang.
Pemimpin akar umbi, Haji Duman Tukimin berkata, keputusan yang dipersetujui Majlis Tertinggi parti itu bakal meningkatkan kecekapan operasi selain membolehkan PGRS memberi tumpuan lebih terarah terhadap isu setempat di setiap kawasan Parlimen.
Menurut beliau, pendekatan berasaskan kawasan Parlimen itu selari dengan aspirasi pembangunan negeri di bawah kerangka Sabah Maju Jaya, di samping mencerminkan kepimpinan yang inklusif dan berpaksikan rakyat.
“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh jentera parti, malah memastikan setiap perancangan lebih tersusun dan responsif terhadap keperluan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau dalam masa sama mengingatkan pemimpin agar tidak bersikap angkuh, sebaliknya melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab dan integriti.
Haji Duman turut meluahkan keyakinan bahawa PGRS berpotensi meraih kemenangan besar dalam pilihan raya Parlimen sekiranya pendekatan mesra rakyat terus diperkasakan secara konsisten.
Mengulas isu tuntutan 40 peratus hasil negeri, beliau menegaskan pelaksanaannya perlu disegerakan bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Kelewatan dalam menunaikan janji ini boleh menjejaskan kepercayaan rakyat dan menutup ruang untuk memenangi sokongan mereka,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berpandangan struktur baharu yang lebih ringkas dan tersusun mampu meningkatkan keberkesanan pendekatan turun padang, sekali gus membuka peluang lebih besar untuk GRS menawan kerusi Parlimen Sepanggar.
“Sepanggar merupakan kawasan strategik dengan demografi pengundi yang pelbagai. Jika pendekatan mesra rakyat diterapkan secara konsisten dan janji ditunaikan, kemenangan bukan sesuatu yang mustahil,” katanya.
Beliau turut menyeru semua wakil rakyat agar mempergiat usaha mendekati rakyat secara berterusan, dengan mencontohi pendekatan yang diamalkan oleh Jamawi Jaafar yang dilihat sentiasa dekat dengan masyarakat serta proaktif dalam menyelesaikan isu setempat.
Penstrukturan baharu ini dilihat bukan sekadar perubahan teknikal, sebaliknya satu anjakan strategik untuk memperkukuh kedudukan parti di peringkat akar umbi, sekali gus meningkatkan keupayaan PGRS mendekati rakyat secara lebih efektif dan berimpak tinggi.

Haji Duman Tukimin