Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Sabah melangkah progresif dengan melancarkan tiga inisiatif strategik bagi memperkukuh usaha pemuliharaan penyu laut serta memacu pelancongan mampan, sekali gus memperteguh komitmen negeri dalam melindungi biodiversiti marin.
Inisiatif berkenaan merangkumi Pelan Tindakan Penyu Laut Sabah, Prosedur Operasi Standard (SOP) penetasan penyu, serta kempen perubahan tingkah laku yang menyasarkan pengurangan penggunaan telur penyu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Arifin berkata, pelan tindakan tersebut merupakan satu penanda aras penting dalam usaha melindungi spesies marin ikonik Sabah.
Menurut beliau, pelan itu bersama SOP dan kempen kesedaran membentuk satu kerangka bersepadu bagi membimbing pihak berkepentingan dalam pelaksanaan pemuliharaan serta pendidikan awam secara lebih efektif.
“Di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997, tiga spesies penyu laut iaitu penyu hijau, penyu sisik dan penyu zaitun diklasifikasikan sebagai spesies dilindungi sepenuhnya di Sabah.
“Sebarang kesalahan melibatkan spesies ini boleh dikenakan hukuman berat, termasuk denda antara RM50,000 hingga RM250,000 serta penjara satu hingga lima tahun,” katanya pada majlis pelancaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Namun, tegasnya, usaha pemuliharaan tidak terhad kepada aspek penguatkuasaan semata-mata.
“Ia menuntut tanggungjawab bersama, kesedaran dan tindakan kolektif. Pelan tindakan ini menjadi panduan komprehensif dengan keutamaan jelas serta penyelarasan usaha yang diperlukan untuk melindungi penyu secara berkesan.
“Ia turut menekankan kepentingan pendidikan awam dalam membentuk semula tingkah laku yang boleh mengancam kelangsungan spesies ini,” katanya sambil menggesa agensi kerajaan, penyelidik, NGO serta pihak penderma menyokong pelaksanaannya.
Mengulas mengenai SOP penetasan penyu, Jafry berkata garis panduan tersebut memastikan program yang dilaksanakan secara kerjasama diurus secara bertanggungjawab, berasaskan sains dan mengutamakan kebajikan haiwan.
“Pendekatan ini bukan sahaja mengukuhkan hasil pemuliharaan, malah meningkatkan reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan mampan bertaraf dunia.
“Penetasan yang diurus baik serta interaksi hidupan liar yang bertanggungjawab mampu memberikan pengalaman bermakna kepada pengunjung, tanpa menjejaskan warisan semula jadi,” katanya.
Sementara itu, kempen perubahan tingkah laku diperkenalkan bagi menangani isu penggunaan telur penyu dengan menumpukan kepada perubahan sikap masyarakat serta pengurangan permintaan.
“Kempen ini menyeru semua pihak untuk berganding bahu dalam memperluas penyebaran mesej kesedaran kepada seluruh lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa tempatan termasuk pejabat daerah, majlis daerah serta media agar memainkan peranan aktif dalam memperkasa kempen berkenaan.
Dalam pada itu, Jafry merakamkan penghargaan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah serta rakan strategik termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan WWF-Malaysia atas komitmen berterusan dalam usaha pemuliharaan penyu.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Datuk Josie Lai serta Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar.

KEMPEN …. Jafry (tiga kiri) bersama Josie Lai dan Mohd Soffian Abu Bakar menunjukkan bahan kempen selepas majlis pelancaran.





