Oleh JOHN TAMBANAN
INANAM: Kerajaan Negeri Sabah komited membentuk ekonomi yang moden, berdaya saing dan inklusif demi manfaat seluruh rakyat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, hala tuju itu dilaksana menerusi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), yang menjadi rangka kerja utama dalam pembangunan sektor negeri.
“Matlamat kita jelas – membina sebuah ekonomi moden yang memberi manfaat kepada semua, termasuk komuniti luar bandar seperti di Inanam,” katanya ketika merasmikan pembukaan cawangan baharu AFFIN Bank Inanam di Plaza Kolombong, di sini.
Hajiji menjelaskan, SMJ berpaksikan tiga teras utama iaitu pertama, Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan, kedua, Pelaburan dalam modal insan, dan ketiga, Mempertingkatkan hubungan melalui pendekatan hijau.
Menurut beliau, pembangunan ekonomi tidak akan berjaya tanpa sistem kewangan yang inklusif dan mudah diakses.
“Di Sabah, 98 peratus perniagaan terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Namun, banyak yang masih menghadapi cabaran seperti kekangan modal, kekurangan kemahiran digital dan kesukaran bersaing dalam pasaran,” katanya.
Jelasnya, peranan institusi kewangan seperti AFFIN Bank sangat penting untuk menutup jurang ini, terutama melalui:
Pembiayaan bersasar untuk sektor seperti pertanian dan eko-pelancongan, Sokongan khas kepada usahawan wanita, dan Program literasi kewangan bagi memperkasa belia Sabah.
“Kita mahu setiap rakyat Sabah mampu menyimpan, berkembang dan menyumbang kepada ekonomi negeri melalui akses kepada modal dan perkhidmatan kewangan,” ujarnya.
Dalam majlis sama, Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Kumpulan AFFIN yang menyambut ulang tahun ke-50 tahun ini serta kejayaan luar biasa di peringkat serantau dan antarabangsa.
“AFFIN bukan sahaja menjadi tulang belakang kewangan selama lima dekad, malah kini melangkah lebih jauh dengan memperkukuh kehadirannya di Sabah,” katanya.









