MAPS 2024 raikan kecemerlangan warga SMK Salaping

KOTA MARUDU: Majlis Apresiasi Permata Salaping (MAPS) 2024 berlangsung meriah di Dewan Perdana SMK Salaping semalam, dirasmikan oleh Datuk Redonah Bahanda, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Ketua Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Sabah.
Majlis tahunan ini bertujuan mengiktiraf kejayaan pelajar cemerlang, guru berdedikasi serta ibu bapa penyayang yang menjadi tulang belakang kepada kecemerlangan sekolah.
“MAPS bukan sekadar penghargaan, tetapi lambang pengiktirafan kepada usaha gigih seluruh ekosistem pendidikan,” kata Redonah dalam ucapannya.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa bidang pendidikan melalui pelbagai inisiatif seperti SUKSES, BISTARI, BAIK, BAGUS, BUDI dan SUBFLY yang digariskan di bawah Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Redonah turut menyeru para pelajar agar terus berdisiplin, menjauhi gejala negatif dan fokus membina masa depan yang cemerlang.
“Tiada kejayaan tanpa disiplin, dan tiada kebahagiaan tanpa akhlak. Anak-anak adalah harapan negeri, pilihlah jalan yang betul demi kejayaan,” katanya.
Beliau menekankan bahawa pelaburan dalam pendidikan adalah keutamaan utama negeri, khususnya dalam membantu pelajar luar bandar dan keluarga B40.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan pelajar serta penyampaian sijil dan anugerah kepada para penerima. Redonah turut mengajak semua pihak, guru, ibu bapa dan komuniti untuk terus bekerjasama memacu kecemerlangan sekolah.
“Saya yakin SMK Salaping mampu terus menjadi ikon pendidikan unggul di utara Sabah,” katanya.-JT

SYABAS …. Redonah menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima dalam Majlis MAPS 2024.