TAWAU: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila mulutnya ditekap seorang lelaki tidak dikenali yang menceroboh bilik sewanya ketika dia sedang tidur, dalam kejadian di sebuah rumah sewa sekitar bandar ini pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata suspek berusia 20 tahun dipercayai menyelinap masuk ke dalam bilik mangsa sebelum cuba menyamun dengan menekup mulut wanita berkenaan.
“Mangsa yang terkejut menjerit sekuat hati dan berjaya menepis tangan suspek sebelum menolak pintu hingga menyebabkan lelaki itu tercampak keluar dari bilik,” katanya dalam kenyataan media.
Namun, suspek dilaporkan masih berdiri di luar rumah tanpa beredar, menyebabkan mangsa serta penyewa lain panik dan terpaksa bersembunyi kerana ketakutan.
Tiada barangan berharga dilaporkan hilang dan tindakan pantas mangsa berjaya menggagalkan cubaan samun tersebut.
Bertindak atas laporan, sepasukan anggota Strike Team IPD Tawau berjaya menahan suspek di kawasan tempat letak kereta sebuah inap desa, kira-kira jam 10.15 malam, Khamis lalu.
“Polis turut merampas sebuah topi, beg silang dan sepasang selipar yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian.
“Semakan mendapati suspek memiliki satu rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” katanya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh bangunan.
Dalam operasi yang sama, seorang lagi lelaki tempatan berusia 25 tahun turut ditahan berhampiran lokasi kejadian selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
“Ujian saringan air kencing ke atas suspek kedua mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelas Jasmin.







