CONFEST 2025 salur input Dasar Pengguna Negara 2.0

Oleh JOHN TAMBANAN

PENAMPANG: Festival Kepenggunaan 2025 (CONFEST 2025) yang berlangsung di ITCC, Penampang dari 11 hingga 13 Julai menjadi platform penting dalam mengumpul input bagi penggubalan Dasar Pengguna Negara 2.0 (DPN 2.0).

Festival anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu turut menjadi acara kemuncak sambutan Hari Pengguna Kebangsaan tahun ini, bertemakan ‘Semarak Konsumerisme’.

Antara aktiviti utama ialah Battle of the Buskers, Sketsa Muzikal, Bicara Berirama dan Ekplorasi Troli Pintar yang melibatkan penyertaan pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti yang telah melalui saringan awal di peringkat negeri dan zon.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, syor dan aspirasi yang dikumpul daripada program ini akan menjadi input utama dalam memuktamadkan DPN 2.0 yang kini di peringkat akhir penggubalan.

“DPN 2.0 akan menjadi rujukan utama kepada semua pemegang taruh yang berkaitan dalam isu kepenggunaan, termasuk memperincikan peranan dan tanggungjawab mereka,” katanya ketika merasmikan CONFEST 2025 di sini, pada Ahad.

Menurutnya, dasar itu digubal bagi menangani cabaran semasa seperti kelemahan kawal selia, pengguna kurang celik maklumat, penggunaan produk tidak selamat, penipuan transaksi serta penyalahgunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, DPN 2.0 turut memberi penekanan kepada isu kos sara hidup rakyat menerusi pelaksanaan inisiatif seperti Program Payung Rahmah MADANI, peluasan Portal Ihsan MADANI dan indikator kos sara hidup sebagai rujukan pengguna.

Bagi memperkasa penglibatan masyarakat, Armizan turut melancarkan logo Skuad Kita Pengguna (SKiP) – sebuah pasukan sukarelawan yang akan menjadi rakan strategik kementerian dalam menyampaikan advokasi kepenggunaan di seluruh negara.

KPDN menyasarkan keahlian SKiP mencecah 25,000 orang menjelang akhir tahun ini bagi memperkukuh jalinan antara kerajaan dan rakyat serta mempertingkat keberkesanan pelaksanaan DPN 2.0.

MERIAH …. Armizan (tengah) ditemani para pegawai kanan KPDN merakam gambar kenangan bersama peserta Festival Kepenggunaan 2025 di ITCC, Penampang.