TAWAU: Sebuah rumah tidak kekal bersama tiga kenderaan musnah dalam kebakaran di Batu 8, Jalan Sin Onn Tiku, awal pagi kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 4.03 pagi.
Seramai 14 anggota dan pegawai bersama tiga jentera dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.
“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati rumah jenis tidak kekal berkeluasan 27×30 kaki telah terbakar 100 peratus.
“Dua kereta dan sebuah motosikal turut musnah sepenuhnya, manakala sebuah lagi kenderaan terbakar kira-kira 20 peratus,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hos reel dan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan, bersumberkan air dari jentera dan pili bomba berhampiran.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.05 pagi sebelum operasi ditamatkan pada 6.41 pagi selepas kawasan disahkan selamat.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.








