Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA MARUDU: Pendidikan prasekolah merupakan fasa asas paling penting dalam membentuk sahsiah, disiplin dan nilai murni anak-anak sebelum melangkah ke alam persekolahan sebenar.
Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda, berkata demikian ketika merasmikan Karnival Kecemerlangan Pendidikan Murid Prasekolah Peringkat Daerah Kota Marudu di SK Ranau, semalam.
“Prasekolah bukan sekadar tempat bermain, tetapi ruang pembelajaran awal di mana anak-anak mula mengenal huruf, membentuk keyakinan diri, memahami peraturan dan belajar bersosial. Melentur buluh biarlah dari rebungnya,” katanya.
Menurut beliau, pendidikan awal berdepan pelbagai cabaran seperti kebergantungan kepada ibu bapa, pengaruh gajet serta kekurangan kemudahan, namun ia boleh diatasi dengan kesabaran dan komitmen semua pihak.
Redonah turut menzahirkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kota Marudu, warga SK Ranau dan para guru prasekolah atas kejayaan penganjuran karnival yang berlangsung meriah dan berwarna-warni.
“Karnival seperti ini bukan sahaja menyerlahkan bakat murid, tetapi turut mengeratkan hubungan antara guru, ibu bapa dan komuniti,” tambah beliau.
Redonah, yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, menyatakan komitmen Kerajaan Negeri memperkasa sektor pendidikan awal menerusi pelbagai bantuan seperti BAGUS, BISBAH, BALKIS dan BANTU di bawah dasar Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau turut memaklumkan bahawa SK Ranau antara sekolah yang menerima naik taraf termasuk pembinaan bilik darjah prasekolah baharu.
Majlis diserikan dengan penyampaian hadiah kepada murid-murid yang menyertai pertandingan serta kehadiran guru besar, pegawai pendidikan daerah, ibu bapa dan masyarakat setempat.







