KK Sentral kini tarikan baharu Bandaraya KK

Dahulu pernah dilabel sebagai projek gajah putih

KOTA KINABALU: KK Sentral kini menjadi tarikan baharu waktu malam di ibu negeri ini dengan pancaran cahaya berwarna-warni yang menyerlahkan suasana bandar, sehingga digelar sebagai ‘Kota Kinabalu City of Light’.
Dahulu pernah dilabel sebagai projek gajah putih, fasad bangunan terminal kini dihiasi dengan sistem pencahayaan LED RGBW (merah, hijau, biru, putih) pintar yang dikawal menerusi teknologi Bluetooth — yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Dr Sabin Samitah, berkata teknologi ini terbukti sebagai kaedah pengurusan pencahayaan moden dan cekap.
Terminal ekspres yang menghubungkan Kota Kinabalu ke kawasan selatan ini juga bakal menempatkan skrin LED terbesar di Sabah, dan mungkin juga di Malaysia, dalam projek yang dijangka siap Ogos 2025.
“KK Sentral akan kembali menjadi lokasi yang penuh warna-warni dan bercahaya,” katanya ketika melancarkan program City of Lights KK Sentral, termasuk gerai kraftangan dan restoran makanan laut di kawasan terminal itu.
Sabin berkata pencahayaan fasad terminal ini merupakan langkah penting ke arah menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandar yang lebih pintar, ceria dan terang.
“Inisiatif ini bukan sekadar mencantikkan landskap bandar tetapi mencerminkan komitmen kami untuk membina sebuah kota yang mesra, selamat, kaya budaya dan maju dari segi teknologi,” jelasnya.
Menurut beliau, cahaya bukan hanya menerangi persekitaran, malah menyatukan komuniti, merangsang pelancongan, menyemai rasa bangga penduduk serta membentuk identiti visual bandar yang tersendiri.
“Kami percaya KK Sentral akan kekal sebagai ikon pencahayaan bandar dan bakal menginspirasikan lebih banyak projek seumpamanya pada masa hadapan,” katanya.
Tambah beliau, pencahayaan terminal ini melambangkan aspirasi baharu untuk membina Kota Kinabalu yang lebih cerah, selamat dan bertenaga, bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga dalam hati dan harapan rakyatnya.
Sabin turut merakamkan penghargaan kepada DBKK Holdings Sdn Bhd dan rakan strategiknya iaitu PCO Electrical (M) Sdn Bhd, Persatuan Kraftangan KK Sentral, Restoran Mi Makanan Laut, serta rakan-rakan media atas kejayaan projek ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Lifred, Pengarah Eksekutif DBKK Holdings, Jimon Jahim, dan Pengarah Urusan PCO Electrical, Lee Huei Chang.

KK Sentral …. Kini menjadi tarikan baharu waktu malam di ibu negeri.