Sabah belanjakan lebih RM848 juta untuk bantuan pendidikan 2021-2024

Oleh JOHN TAMBANAN

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah telah membelanjakan hampir RM1 bilion, iaitu RM848.26 juta, bagi pelbagai bantuan pendidikan dari tahun 2021 hingga 2024 sebagai bukti komitmen dalam membangunkan modal insan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pelaburan ini sejajar dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan serius terhadap pendidikan berkualiti dan saksama untuk semua anak Sabah.

“Setiap anak Sabah berhak menerima pendidikan yang berkualiti. Oleh itu, Kerajaan Negeri memperkenalkan 14 inisiatif baharu dengan peruntukan RM164.14 juta yang telah memberi manfaat kepada lebih 210,000 pelajar,” katanya dalam ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan pada Konvensyen Pendidikan ke-29 di SICC, Rabu malam.

Antara inisiatif yang diperkenalkan termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), program Graduan Rindu Sabah (GRS-SUBFLY) dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA).

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji turut menekankan peranan penting guru besar dalam era pendidikan abad ke-21, yang memerlukan kepimpinan berinovatif dan berdaya saing.

“Guru besar adalah tonggak kepimpinan sekolah. Keberkesanan mereka akan menentukan kualiti dan hala tuju sesebuah sekolah,” katanya.

Beliau turut menghargai usaha Persatuan Guru Besar Malaysia dalam memperjuangkan profesionalisme pendidikan dan berharap konvensyen ini menjadi platform memperkukuh kualiti kepimpinan sekolah.

“Marilah kita terus berganding bahu memartabatkan profesion perguruan dan memperkasakan anak bangsa,” katanya.

HAJIJI HAJI NOOR …. Ketua Menteri Sabah.