DUN Kemabong perlu pemimpin baharu, bukan lagi wajah lama – KDM

TENOM: Rakyat Kemabong digesa memberi peluang kepada pemimpin baharu tanpa mengira bangsa atau agama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Penyelaras Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Kemabong, Voo Ngok Sang atau lebih dikenali sebagai Roger, berkata kepimpinan lama yang terlalu lama berkuasa perlu berundur.
“Sudah tiba masa Kemabong diwakili oleh pemimpin baharu yang bebas daripada krisis keyakinan rakyat. Kepimpinan segar dan berwibawa diperlukan untuk menyelesaikan isu asas seperti air, elektrik dan jalan pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi taklimat bersama ketua-ketua PDM, ketua cawangan dan jentera pilihan raya KDM DUN Kemabong di Tenom Valley, Chinta Mata, semalam.
Pada majlis itu, Setiausaha Agung KDM, Willie Jude turut menyampaikan surat pelantikan rasmi kepada Voo.
Voo menegaskan bahawa KDM adalah parti pelbagai kaum dan bukan eksklusif untuk etnik Kadazan, Dusun dan Murut sahaja.
Beliau turut menyatakan kesediaannya untuk bertanding di DUN Kemabong atas tiket KDM sekiranya diberi peluang, dan menyeru semua jentera parti agar bersatu dan bersiap sedia menghadapi PRN akan datang.
“Kita perlu buat pilihan bijak demi masa depan yang lebih baik untuk DUN Kemabong,” katanya.-JT

SURAT PELANTIKAN … Voo (dua dari kanan) menerima surat pelantikan Ketua Penyelaras KDM Kemabong daripada Willie Jude.