Oleh FARDY BUNGGA
TAWAU: Tindakan seorang lelaki mabuk mencederakan rakannya sendiri menggunakan senjata tajam dalam pergaduhan di hadapan Pasar Raya Rastamas, di sini, petang kelmarin, berjaya ditahan.
Dalam insiden itu, mangsa yang bekerja sebagai buruh kasar dilaporkan mengalami kecederaan parah termasuk mengakibatkan ususnya terkeluar selepas terkena senjata tajam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, polis menerima maklumat melalui panggilan kecemasan pada jam 3.43 petang berhubung insiden pergaduhan melibatkan penggunaan senjata tajam.
Susulan itu, katanya, pihak polis berjaya memberkas suspek berusia 37 tahun di lokasi kejadian pada jam 5 petang, hari yang sama.
“Polis turut berjaya merampas senjata yang disyaki digunakan dalam pergaduhan berkenaan,”katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, pemeriksaan awal juga mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di Malaysia.
Jasmin berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada mabuk sehingga membawa kepada cabar-mencabar dan akhirnya bergaduh melibatkan senjata tajam.
Katanya, kedua-dua lelaki itu saling mengenali kerana mereka bersama-sama bekerja sebagai buruh kasar.
Menurutnya lagi, suspek ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.
Ketika ini, katanya, siasatan kes sedang dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.






