Pesta Kaamatan, Hari Keluarga kukuhkan ikatan keluarga Sogunting

Oleh HASSIM OTHMAN


KAIDUAN: Semangat kekeluargaan dan warisan budaya terserlah apabila Sinompuruon Sinakagon Sogunting Sapada menganjurkan sambutan Hari Keluarga dan Pesta Kaamatan di EBT Campsite, Kaiduan pada Sabtu.
Acara penuh warna-warni ini menghimpunkan ratusan ahli keluarga dari pelbagai generasi, termasuk penyertaan sulung keluarga dari Kampung Marahang, Papar, yang menambah seri dan makna perhimpunan tahunan ini.
Majlis turut diraikan dengan kehadiran tetamu kehormat, antaranya Wakil Rakyat Limbahau Datuk Juil Nuantin, Senator YB Datuk Nelson Wences Anggang, Tan Sri Wences Anggang, dan Datuk Michael Frederick.
Kehadiran tokoh-tokoh ini memberi penghormatan besar kepada penganjur dan menzahirkan sokongan terhadap usaha memelihara warisan kekeluargaan.
Lebih daripada sekadar perayaan Kaamatan, program ini menjadi platform bermakna untuk menyemai nilai kekeluargaan dan memperkukuh ikatan darah merentas generasi.
Pelbagai acara seperti sukaneka, persembahan kebudayaan, sesi perkenalan keluarga dan jamuan tradisi, dan majlis potong kek memeriahkan suasana dan mengeratkan lagi hubungan antara ahli keluarga.
Menurut wakil penganjur, Josepha @ Jossie Joimis Korintiz, objektif utama acara ini adalah untuk memelihara warisan nenek moyang serta mengukuhkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan generasi lama dan muda keturunan Sogunting Sapada.
Kehadiran keluarga baharu dari Marahang disifatkan sebagai simbol pertambahan cabang dalam pohon keluarga besar Sogunting.
“Selaku wakil penganjur, saya ingin merakamkan ucapan terimakasih kepada semua penyumbang samada dalam wang ringgit, hadiah, hamper dan tenaga sehingga terlaksananya program hari ini dengan jayanya,” katanya.
Sinompuruon Sinakagon Sogunting berharap agar sambutan ini dapat dijadikan acara tahunan demi memperkukuh jati diri keluarga serta menyemarakkan lagi semangat kekitaan dalam kalangan anak cucu warisan Sogunting.
Pada tahun hadapan sambutan Hari Keluarga dan Pesta Kaamatan Keluarga Sogunting akan diteruskan dan dihoskan oleh keluarga dari Kampung Marahang.

RATU KANAK-KANAK … Pemenang Pertandingan Ratu Kanak-Kanak bergambar
kenangan bersama Nelson, Juil dan Josepha selepasa penyampaian hadiah.