Enam syarikat terima surat tawaran Dana Program TV (Borneo) RM1.15 juta

Oleh JOHN TAMBANAN

KOTA KINABALU: Sebanyak enam buah syarikat produksi Sabah menerima surat tawaran bagi Dana Program TV (Borneo) berjumlah RM1.15 juta.

Menteri Komunikasi Malaysia, Fahmi Fadzil berkata, ia khusus untuk penerbitan supertelefilem berkualiti tinggi dalam bahasa kebangsaan atau bahasa etnik tempatan.

“Program ini bertujuan meningkatkan kandungan siaran tempatan serta memacu kerjasama strategik antara penggiat industri dengan stesen penyiar seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan media swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis penyerahan surat setuju terima dana kandungan kreatif, di hotel Promenade pada malam Selasa.

Fahmi berkata, antara yang membanggakan ialah filem `Sinakagon’, arahan anak muda Sabah Timothy Stephen, menjadi filem bahasa Dusun pertama yang ditayangkan di Netflix dan meraih anugerah di Rome Independent Film Awards serta Milan Independent Awards; dan

`Ninavau’, sebuah filem Kadazan arahan Bebbra Mailin, yang dipilih sebagai Filem Pembukaan di Malaysia International Film Festival (MIFFest) 2025.

“Ini satu pengiktirafan besar terhadap karya dari Sabah yang menampilkan suara dan budaya tempatan,” kata Fahmi.

Fahmi berkata, industri kreatif merupakan antara sektor yang terus diberikan keutamaan oleh Kerajaan MADANI. Industri ini bukan sekadar wadah hiburan, malah menjadi pemacu ekonomi, pencipta peluang pekerjaan dan medium untuk membina naratif kebangsaan.

Katanya, sasaran sumbangan industri kreatif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini adalah sebanyak RM31.9 bilion, dan ia kekal menjadi fokus utama Kementerian Komunikasi, sejajar dengan objektif dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan Dana Pasca Produksi kepada sebuah syarikat produksi Sabah dengan nilai hampir RM240,000 bagi memperkasakan aspek teknikal pascapenggambaran seperti visual effects, color grading dan Dolby Atmos.

Fahmi berkata, penyerahan Surat Setuju Terima ini membuktikan iltizam Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Komunikasi dalam mendukung penggiat seni di seluruh pelosok tanah air sejajar dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kandungan kreatif serantau.

KENANGAN …. Para penerima Dana Program TV (Borneo) dan Dana Pasca Produksi merakamkan gambar kenangan bersama-sama Fahmi (tengah).