Lelaki ditemui tergantung dipercayai bunuh diri

Oleh FARDY BUNGGA


SANDAKAN: Seorang lelaki ditemui tergantung dipercayai membunuh diri di stor rumahnya dalam kejadian di Kampung Sim-Sim, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mangsa pada kira-kira jam 9.30 malam.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah dan Balai Polis Sandakan terus dikerah bergegas ke lokasi kejadian.
“Kejadian disedari keluarga mangsa yang berada di rumah dan terus bertindak menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.
“Setibanya di lokasi, pasukan polis menemui mangsa tergantung di dalam bilik stor di rumahnya dan dipercayai telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan makluman keluarga mangsa, lelaki terbabit dikatakan mempunyai masalah kesihatan.
Katanya, mayat mangsa terus dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk tindakan selanjutnya termasuk proses bedah siasat.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini ia diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.

George Abd Rakman