Lelaki warga asing ditahan hendap jiran

Oleh FARDY BUNGGA


TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas dipercayai merakam video jiran wanitanya dalam kejadian di Kampung Merotai Besar, semalam.
Dalam kejadian berkenaan, lelaki berusia 26 tahun ditahan di kawasan Pekan Merotai Besar selepas laporan polis dibuat mangsa.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa wanita terbabit yang berada di dalam biliknya terkejut selepas menyedari diri dirakam.
Katanya, mangsa terus menjerit meminta pertolongan daripada jiran sebelum tampil membuat laporan polis susulan kejadian itu.
“Sehubungan itu, sepasukan polis daripada Balai Polis Bombalai berjaya mengesan suspek di kawasan Pekan Merotai Besar.
“Semasa tangkapan dibuat, suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap setelah berlaku pergelutan,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, suspek merupakan warganegara asing yang tinggal di Malaysia tanpa sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
“Suspek terus dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

TAHAN …. Suspek warga asing terbabit berjaya ditahan selepas laporan polis dibuat mangsa.