PGA Sabah rampas balak dan treler bernilai lebih RM2.6 juta di Ranau

RANAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah berjaya merampas 59 batang kayu balak tanpa permit serta menahan dua treler dalam satu serbuan di Kampung Rondogung, di sini, awal pagi semalam.
Komander PGA Briged Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, operasi kira-kira jam 1.30 pagi itu dilaksanakan oleh sepasukan anggota Cawangan Risik/Task Force Batalion 21 PGA Keningau bersama Jabatan Perhutanan Sabah Cawangan Ranau menerusi Op Bersepadu Khazanah.
Beliau berkata, serbuan diketuai Inspektor Shariff Lamuin selepas pasukan mengesan pergerakan mencurigakan dua treler dari arah Jalan Tambunan-Ranau sebelum ditahan untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua treler membawa kayu balak pelbagai jenis tanpa sebarang dokumen sah.
“Kayu-kayu itu dipercayai dipindahkan tanpa permit dan melanggar syarat Jabatan Perhutanan Sabah,” katanya dalam kenyataan media.
Katanya, pemandu kedua-dua treler terbabit adalah lelaki tempatan berusia 43 dan 59 tahun yang turut ditahan untuk membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati kayu-kayu itu dibawa dari kawasan Kuala Tomani, Tenom dan dipercayai akan dihantar ke sebuah kilang papan di Lohan, Ranau,” katanya.
Jumlah nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2.68 juta, meliputi nilai kayu balak sebanyak RM1.189 juta dan dua treler yang dianggarkan bernilai RM1.491 juta.
Semua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Sabah untuk tindakan lanjut di bawah Enakmen Hutan Sabah 1968 kerana memiliki dan mengangkut hasil hutan tanpa dokumen sah.
Abdul Rani menegaskan bahawa PGA bersama agensi penguat kuasa lain akan terus mempergiatkan pemantauan dan pemeriksaan di kawasan panas pembalakan haram bagi mengekang penyelewengan hasil hutan negeri ini.
Beliau turut menyeru masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pembalakan mencurigakan agar tindakan pantas dapat diambil demi memelihara khazanah hutan negara.

PERIKSA… Rampasan kayu balak pelbagai jenis yang dibawa tanpa sebarang dokumen sah.