TUARAN: Sabah terus melakar pencapaian dalam sektor pelancongan apabila diiktiraf sebagai destinasi pelayaran bertaraf dunia, susulan penganjuran acara Dalit Bay Nautica 2025 yang menghimpunkan lebih 100 pelayar dan 29 kapal layar dari 16 negara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kehadiran peserta antarabangsa itu membuktikan Sabah semakin mendapat tempat di hati komuniti pelayaran global serta diiktiraf sebagai lokasi yang ideal bagi aktiviti pelancongan nautika.
“Sabah memiliki keunikan tersendiri dengan pantai yang indah dan tidak tercemar, selain kekayaan budaya serta kedudukan strategik menghadap Laut China Selatan.
“Ini menjadikan negeri ini berpotensi besar untuk muncul sebagai hab pelayaran dan pelancongan nautika antarabangsa,” katanya.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai ketika merasmikan acara berkenaan di Pantai Dalit.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri melihat pelancongan nautika sebagai pemangkin baharu dalam usaha merancakkan ekonomi, terutamanya di kawasan luar bandar melalui limpahan manfaat kepada komuniti tempatan.
“Kita perlu memanfaatkan potensi besar yang ada, terutamanya laluan perairan dan lokasi semula jadi yang sangat menarik di seluruh negeri. Sabah bukan sahaja memiliki laut yang menakjubkan, tetapi juga banjaran gunung, kepelbagaian biodiversiti dan warisan budaya yang unik,” katanya.
Menurutnya, penganjuran acara seperti Dalit Bay Nautica bukan sekadar menarik pelancong, tetapi juga menjadi platform mempromosikan Sabah di pentas dunia sebagai destinasi pelancongan yang lengkap dan berdaya saing.
“Acara ini bukan sahaja menambah warna dalam kalendar pelancongan negeri, malah menjadi petunjuk jelas kepada pertumbuhan kukuh sektor pelancongan Sabah. Kita yakin ia akan membantu mencapai sasaran ketibaan 3.5 juta pelancong tahun ini,” katanya.
Hajiji turut menyifatkan Pantai Dalit sebagai antara lokasi berpotensi tinggi untuk dibangunkan secara mampan sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia berdasarkan keindahan semula jadinya yang luar biasa.
“Dengan sinergi antara kerajaan, penggiat industri dan komuniti tempatan, Sabah mampu muncul sebagai antara destinasi utama pelancongan nautika serantau dan global,” katanya.
Acara Dalit Bay Nautica turut mengetengahkan pelbagai aktiviti berkaitan pelayaran dan rekreasi maritim, sekali gus membuka ruang kepada Sabah untuk terus meneroka pasaran pelancongan khusus yang semakin berkembang di peringkat antarabangsa.






