KPDN, MoF perluas akses SARA di kawasan pedalaman

Oleh JOHN TAMBANAN


RANAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MoF) bagi memperluas akses pembelian barangan asas oleh penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA), termasuk di kawasan luar bandar menerusi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Bergerak.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ketika ini seramai 506,000 penerima SARA di seluruh negara, termasuk di Sabah, boleh membeli barangan keperluan asas di 4,152 premis terpilih, merangkumi 470 premis di negeri itu.
Katanya, cadangan perluasan akses SARA ke lokasi PJRM Bergerak bertujuan memastikan penerima bantuan di pedalaman turut berpeluang menikmati harga barangan lebih rendah serta kemudahan pembelian menggunakan MyKad.
“Inisiatif ini akan memberi manfaat besar kepada rakyat luar bandar kerana ia membolehkan mereka menggunakan bantuan SARA secara langsung di lokasi PJRM Bergerak yang menghampiri komuniti mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jelajah Karnival KPDN 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Sabah di Kompleks Sukan Ranau pada Sabtu. Program tiga hari yang berlangsung dari 25 hingga 27 Julai itu dijangka menarik lebih 60,000 pengunjung.
Menurut Armizan, bagi negeri Sabah sahaja, kerajaan telah menyalurkan RM410 juta kepada 830,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) manakala RM500 juta lagi kepada penerima SARA setakat Julai 2025.
Katanya, penganjuran karnival itu juga menjadi platform untuk memperkasa Kempen Beli Barangan Malaysia 2025 menerusi tema ‘Jom Beli Lokal’, sebagai galakan kepada pengguna menyokong produk tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada barangan import.
Tambah beliau, KPDN turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai tambahan peruntukan RM300 juta bagi memperluaskan pelaksanaan PJRM di seluruh negara, termasuk 2,276 siri di Sabah pada tahun ini.
“Sehingga 26 Julai, sebanyak 1,089 siri PJRM telah dilaksanakan di negeri ini. Kita akan terus tingkatkan kekerapan pelaksanaan PJRM agar manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai rakyat di seluruh pelosok Sabah,” katanya.

RASMI … Armizan (tengah) menekan butang tanda simbolik perasmian Program
Jelajah Karnival KPDN 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Sabah, di Kompleks
Sukan Ranau, pada Sabtu.