Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Polis sudah mengambil keterangan 60 individu melibatkan pelajar, ibubapa dan guru bagi membantu siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan sudah di peringkat akhir dan kertas siasatan juga sudah diserahkan kepada Bukit Aman untuk pemerhatian dan penelitian sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara.
Katanya, siasatan mengambil masa sehingga lapan hari disebabkan jumlah saksi yang perlu diambil keterangan selain faktor emosi khususnya pelajar-pelajar yang kebanyakannya masih trauma dengan insiden berkenaan.
“Pada 17 hari bulan, saya telah membuat perbincangan dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sabah iaitu Datuk Azmi berkaitan dengan kes ini dan pada esoknya satu pasukan khas daripada pihak IPK dihantar untuk membantu siasatan.
“Kes mengambil masa beberapa hari untuk menyiapkan kes siasatan, sebab kita sendiri sedia maklum pelajar-pelajar ini dalam keadaan yang trauma.
“Dalam keadaan yang trauma jadi pihak siasatan ini juga dibantu oleh pakar-pakar kaunseling untuk membolehkan pelajar-pelajar ini dapat menceritakan yang sebenarnya apa yang telah berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Hari Pahlawan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, di sini, kelmarin.
Jauteh berkata, siasatan menjurus kepada dua elemen iaitu punca kematian dan juga keadaan persekitaran tempat kejadian.
“Kita tidak menolak kemungkinan semua dakwaan berdasarkan kepada siasatan yang kita laksanakan.
“Jadi kita serahkan kepada pihak Bukit Aman untuk memberikan pandangan lanjut berkaitan dengan siasatan kes ini sebagai pihak yang lebih tinggi dalam PDRM dan juga yang lebih mempunyai kemahiran-kemahiran,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya berkenaan dakwaan penglibatan anak-anak VVIP termasuk dirinya di sekolah berkenaan, Jauteh menafikannya sebarang hubungkait dalam kes berkenaan.
“Berbalik kepada VVIP, tadi ada yang didakwa juga wakil rakyat, saya tidak dapat mengetahui secara keseluruhan sebab ramai pelajar disitukan.
“Jadi yang itu kita tidak membuat ke siasatan berkaitan dengan ini anak siapa, ini anak siapa.
“Tapi saya tegaskan bahawa saya tidak mempunyai anak yang pernah dan sedang bersekolah di sana, tidak ada anak saya,” katanya.







