Sabah perkasa tenaga kerja dalam sektor air

Oleh JOHN TAMBANAN

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah komited untuk memperkukuh keupayaan tenaga kerja tempatan, khususnya dalam sektor air, sejajar dengan aspirasi untuk menjadikan Sabah negeri yang makmur, berdaya tahan dan mampan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pelaburan dalam modal insan amat penting bagi memastikan kelestarian pembangunan dalam semua sektor, termasuk sektor air yang memainkan peranan penting dalam kesihatan awam dan ekonomi.

“Dengan membekalkan profesional kita dengan pengetahuan dan kemahiran terkini, kita memperkasakan mereka untuk memimpin penerapan teknologi serta amalan baharu dalam sektor kritikal ini,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan dan Ekspo Asiawater Sabah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini kelmarin.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Hajiji berkata, sektor air dan kumbahan yang cekap mampu memberi impak besar terhadap peningkatan taraf hidup rakyat melalui penyediaan perkhidmatan berkualiti, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Pelaburan dalam infrastruktur air bukan sahaja memperbaiki mutu hidup rakyat, malah turut menjana peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan ekonomi yang inklusif,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa persidangan dan ekspo ini adalah satu platform penting dalam usaha menangani pelbagai cabaran berkaitan pengurusan air di Sabah.

“Dalam beberapa hari ini, saya percaya para peserta akan terlibat dalam perbincangan yang konstruktif dan meneroka penyelesaian inovatif terhadap isu-isu mendesak yang kita hadapi,” katanya.

Menurut Hajiji, hasil perbincangan itu diharapkan dapat membuka ruang kerjasama baharu serta memperkukuh jaringan perkongsian ilmu antara pemain industri dan pihak berkepentingan.

“Yang lebih utama ialah usaha kita bersama untuk meningkatkan kecekapan sistem perkhidmatan air dan merangka strategi berkesan demi manfaat masyarakat di seluruh negeri,” tambah beliau.

HAJIJI NOOR