Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Ibu Zara Qairina Mahathir akan menyerahkan telefon bimbit miliknya kepada polis untuk membantu siasatan pihak berkuasa.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan peguam, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, berkata, anak guamnya Noraidah Lamat akan menyerahkan telefon bimbitnya yang mengandungi beberapa rakaman audio perbualan telefon di antara dia dan anaknya.
Katanya, penyerahan akan dibuat petang ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di Kepayan, di sini, untuk membantu melengkapkan siasatan polis.
“Kami berterima kasih kepada Jabatan Peguam Negara yang telah mengembalikan laporan penuh siasatan awal berkaitan kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir (Zara) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.
“Ia termasuk arahan berhubung beberapa perkara tertentu untuk dilengkapkan sebelum mengambil tindakan lanjut,”katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, kelmarin.
Menurutnya, tindakan itu adalah selaras dengan salah satu daripada empat perkara yang dipohon oleh mereka dalam surat bertarikh 5 Ogos lalu kepada Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
Sementara itu katanya, pihaknya berharap tiga lagi perkara yang dipohon turut dimasukkan dalam arahan yang dimaksudkan.
“Tiga perkara yang diminta ialah penyiasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman selain penggalian semula kubur Zara agar satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian.
“Ia juga melibatkan satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara,” katanya.






