TAWAU: Cubaan seorang lelaki melarikan sebuah van putih yang penuh dengan muatan rokok seludup akhirnya gagal selepas kenderaan itu berjaya dipintas pihak berkuasa di Kampung Titingan, di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 pagi itu, lima kenderaan Unit Peronda Polis (MPV) termasuk dua pacuan empat roda digerakkan dalam operasi khas yang melibatkan Unit Gempur Marin (UNGGERIN) Pasukan Polis Marin (PPM), dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak, IPD Tawau dan Unit Risikan PPM.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, pasukannya mengesan van berkenaan yang dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba menahan kenderaan terbabit untuk pemeriksaan.
“Namun, pemandu van bertindak agresif dan memecut laju untuk melarikan diri, menyebabkan operasi mengejar terpaksa dijalankan selama lebih sejam sebelum van itu akhirnya berjaya dipintas,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Pemeriksaan ke atas van tersebut menemukan longgokan plastik hitam berisi 678,400 batang rokok pelbagai jenama yang dipercayai diseludup masuk secara haram.
Menurut Nazri, seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun ditahan dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1,011,630.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.
Beliau berkata, PPM akan terus melaksanakan operasi secara berterusan dan agresif dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan yang merugikan hasil negara.
Katanya, kerjasama orang ramai amat dialu-alukan dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan agar tindakan segera dapat diambil.






