Jumlah keseluruhan rampasan cecah RM84 juta
SANDAKAN: Cubaan memindahkan petrol bersubsidi secara haram di perairan Langkayan di sini berjaya digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam satu operasi khas malam kelmarin.
Dalam operasi kira-kira jam 11 malam itu, sepasukan anggota PPM Sandakan mengesan dua buah kapal – sebuah kapal besi dan sebuah kapal kumpit – yang sedang berlabuh dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menjalankan pemeriksaan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kapal besi terbabit telah memindahkan kira-kira 100,000 liter petrol ke kapal kumpit.
“Pemeriksaan lanjut menemui baki 900,000 liter petrol di dalam tangki kapal besi berkenaan, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM84.07 juta,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Menurut beliau, empat lelaki warga asing berusia antara 43 hingga 65 tahun yang berada di atas kapal turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati juragan dan kru gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit sah berkaitan aktiviti pemindahan minyak (bunkering) daripada pihak berkuasa seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Laut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Perkapalan Saudagar 1952.
Nazri menegaskan bahawa PPM Wilayah 4 Sabah komited membanteras sebarang bentuk penyeludupan dan pemindahan bahan api haram yang bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh menjejaskan keselamatan serta ekonomi negara.
“Orang ramai diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan agar tindakan segera dapat diambil,” katanya lagi.







