Anak Jati Tanjung Aru Baru bakal bersatu kembali 30 Ogos ini

Oleh HASSIM HJ OTHMAN


KOTA KINABALU: Persatuan Anak Jati Tanjung Aru Baru bakal menghimpunkan semula warga asal kampung berkenaan dalam Majlis Reunion Malam Seribu Kenangan 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos ini di Space 8, Aeropod Tanjung Aru.
Pengerusinya, Khalid Osman, berkata majlis yang dianjurkan buat kali kedua itu diharap menjadi wadah mempereratkan kembali silaturahim antara mantan penduduk Kampung Tanjung Aru Baru yang kini berhijrah ke daerah lain.
“Kehadiran warga emas berusia 70 tahun ke atas diberikan penghormatan khas dengan kebenaran membawa pasangan masing-masing,” katanya selepas mesyuarat akhir penganjuran majlis berkenaan, semalam.
Selain dimeriahkan dengan cabutan tiket bertuah yang menawarkan hadiah menarik termasuk barangan elektrik dan hamper, majlis itu turut diserikan dengan sambutan Ambang Merdeka bersempena Bulan Kebangsaan.
Untuk rekod, edisi pertama Malam Seribu Kenangan diadakan pada tahun 2000 di Tanjung Aru Plaza.
Khalid merakamkan penghargaan kepada semua jawatankuasa penganjur yang komited menjayakan program tersebut, sambil berharap reunion kali ini akan berlangsung penuh bermakna.
“Semoga Malam Seribu Kenangan 2025 menjadi simbol kebersamaan dan nostalgia indah buat semua Anak Jati Tanjung Aru Baru,” katanya.

KENANGAN ….Khalid (depan, tengah) merakamkan kenangan bersama barisan Jawatankuasa Reunion Malam Seribu Kenangan 2025.