KENINGAU: Bekas pengetua, pegawai kanan Jabatan Pendidikan Sabah dan pegawai cemerlang, Peter Paun berpendapat sudah tiba masanya satu sekolah elit diwujudkan di kawasan Keningau.
Beliau berkata ini kerana Keningau merupakan bandar yang paling besar di bahagian padalaman dan sedang pesat membangun.
“Oleh itu, ada keperluan untuk membina sebuah sekolah elit untuk menempatkan pelajar-pelajar yang bijak, pintar dan terpilih di sekolah elit.
“Dengan adanya sekolah elit ini nanti, mereka tidak perlu keluar daripada Keningau dan semua pelajar-pelajar yang terbaik di pedalaman dapat dihimpunkan di daerah Keningau,” katanya dalam catatan terbaharu di media sosial.
Peter yang juga bakal calon KDM Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan berkata demikian selepas menyertai program turun padang ke beberapa kampung di kawasan DUN Liawan, termasuk Pasar Besar Keningau.
“Jadi, itulah yang perlu dilaksanakan di kawasan Keningau ini, selain pelbagai agenda pembangunan yang lain, sekiranya diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat DUN Liawan,” katanya.
Sekolah elit merujuk kepada sekolah-sekolah yang mempunyai reputasi kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum, sering kali dikaitkan dengan kemudahan yang lebih baik dan program yang lebih menyeluruh.
Istilah ini juga boleh merujuk kepada sekolah berasrama penuh (SBP) atau sekolah kluster kecemerlangan.-JT






