Polis siasat penularan berita tidak sahih akaun TikTok@BerjuangUntukZara

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap sebuah akaun TikTok @BerjuangUntukZara.
Akaun laman sosial berkenaan dikesan memuat naik kandungan yang tidak tepat dan sahih berkaitan kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, siasatan dijalankan berhubung kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian.
“Kandungan yang dimuat naik mempunyai kecenderungan menghasut kebencian terhadap mana-mana pihak.
“Ia boleh menyebabkan kegusaran dan kegenteran awam,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan,di sini.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang  ramai agar menghentikan segera perbuatan tidak bertanggungjawab kerana boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, penularan kandungan yang tidak sahih berpotensi menjejaskan kelancaran serta keberkesanan proses siasatan oleh pihak PDRM.

M Kumar