Oleh FARDY BUNGGA
TUARAN: Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai tergelincir jatuh ke bawah gaung dalam kejadian di Kampung Kionsom Baru, Tamparuli, di sini, Sabtu malam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa berusia 67 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 8.14 malam.
Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Sebaik tiba di lokasi, mangsa didapati terjatuh ke dalam gaung sedalam 150 meter, dipercayai semasa dalam perjalanan menuju ke kebun.
“Pasukan bomba terus bertindak membantu menaikkan mangsa yang masih berada di dalam gaung,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Menurutnya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.40 malam.









