Kejohanan Gegar Takraw Merdeka Piala DAA anjuran PAPIM
MEMBAKUT: Sebanyak 32 pasukan bakal berentap dalam Kejohanan Gegar Takraw Merdeka merebut Piala Penaung Persatuan Kebajikan dan Rekreasi Anak-Anak Pimping (PAPIM), Datuk Dr Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif, yang akan berlangsung pada 23 dan 24 Ogos ini di Dewan Kesenian Pekan Membakut.
Pengerusi Penganjur, Nor Isham Narawi, berkata lebih 45 pasukan telah mendaftar, namun hanya 32 pasukan diterima mengikut syarat yang ditetapkan pihak penganjur.
“Oleh kerana kejohanan ini adalah tertutup untuk Dewan Undangan Negeri Membakut serta pasukan jemputan dari daerah berdekatan, kita terpaksa menolak penyertaan pasukan jauh seperti dari Kudat, Kota Belud dan Keningau. Sambutan amat menggalakkan hingga lebih 10 pasukan lagi tidak dapat diterima kerana tidak menepati syarat,” katanya.
Menurutnya, cabutan undi dan mesyuarat pengurus pasukan akan diadakan pada 22 Ogos jam 3 petang di Dewan Kesenian Islam Pekan Membakut. Pusingan awal bermula pagi Sabtu manakala pertandingan akhir dijadualkan pada Ahad.
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap ADUN Membakut, Datuk Dr Haji Mohd Arifin, dengan gimik menyepak dua bola takraw yang akan dihadiahkan kepada penonton bertuah.
Nor Isham berkata, lebih 20 gerai niaga telah ditempah, khususnya oleh usahawan Kg Pimping bagi memasarkan produk mereka sepanjang kejohanan. Inisiatif ini juga menjadi sebahagian usaha PAPIM membantu masyarakat tempatan menjana pendapatan.
Sebagai tanda solidariti kepada arwah adik Zara Qairina Mahathir, penganjur turut akan mengadakan majlis doa sebelum perlawanan dimulakan, selain menampal poster kecil #JusticeForZara di lokasi kejohanan.
“Kejohanan ini hanya dapat direalisasikan hasil komitmen tinggi seluruh AJK dan ahli PAPIM yang bertungkus-lumus menjayakannya. Saya berharap ia berlangsung lancar dan meriah,” tambahnya.
Juara kejohanan akan membawa pulang RM2,000 beserta Piala Rebutan DAA dan sijil, manakala naib juara menerima RM1,000 serta sijil. Pemenang tempat ketiga bersama masing-masing mendapat RM500 dan sijil.
Selain itu, hadiah khas turut disediakan bagi kategori Tekong Terbaik, Killer Terbaik dan Feeder Terbaik, dengan ganjaran RM100 setiap seorang. Hadiah kejutan turut menanti pemenang, namun dirahsiakan penganjur.
Orang ramai, khususnya ahli PAPIM, dijemput hadir memeriahkan kejohanan. Kaunter pendaftaran keahlian PAPIM juga akan dibuka sepanjang acara berlangsung.-Oleh HAJI MOHD AMIN HAJI MUIN.

Nor Hisham Narawi untuk dimenangi oleh juara pertandingan ini nanti.






