KOTA KINABALU: Persatuan Wartawan Sabah (SJA) menyuarakan kebimbangan serius terhadap cabaran yang dihadapi media ketika membuat liputan kes Allahyarhamah Zara Qairina, sambil menggesa pihak berkuasa untuk menegakkan aspek keselamatan, kawalan akses dan profesionalisme dalam setiap acara sidang media.
Presidennya, Mariah Doksil berkata, pihaknya terkejut dengan laporan gangguan melibatkan seorang individu tidak dikenali yang menyusup masuk ke zon media arus perdana semasa sidang media inkues baru-baru ini.
Kejadian itu menyebabkan dua wartawan wanita berasa tidak selesa dan terancam apabila individu tersebut berdiri terlalu dekat dengan mereka.
“Kami mendesak penguatkuasaan yang lebih ketat demi melindungi wartawan yang bertugas,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mariah, SJA juga memandang serius gangguan daripada individu tidak terlatih yang memasuki kawasan media, kemudian menyiarkan secara langsung untuk tujuan monetisasi, sedangkan siaran tersebut bertujuan memberi maklumat tepat kepada orang ramai.
“Tindakan sebegini menjejaskan kerja kewartawanan dan menimbulkan kekeliruan,” tambahnya.
Persatuan itu turut menekankan kebimbangan terhadap penyebaran maklumat palsu, termasuk dakwaan tidak benar serta laporan tidak tepat mengenai prosiding mahkamah daripada sumber tidak sahih.
“Akses sidang media harus diberikan keutamaan kepada media berdaftar bagi memastikan laporan yang tepat dan bertanggungjawab,” tegas Mariah.
SJA turut menggesa penguatkuasaan lebih ketat terhadap protokol kawasan larangan, khususnya di lokasi sensitif seperti mahkamah, kerana rakaman tidak sah boleh menjejaskan prosiding serta akses media yang sah.
Mariah menegaskan bahawa semua pihak wajar menghormati etika kewartawanan dan sempadan undang-undang, sambil menekankan bahawa laporan bertanggungjawab – bukan sensasi – adalah yang terbaik demi kepentingan awam dan keadilan.








