Lelaki ditahan cabul anak saudara sejak berusia 10 tahun

LAHAD DATU: Seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan polis selepas disyaki mencabul anak saudaranya sejak mangsa berumur 10 tahun.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang kini berusia 16 tahun.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa mendakwa dicabul suspek yang juga adik kepada ibunya ketika berada di kawasan perumahan sebuah ladang di sini.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Lahad Datu melancarkan operasi dan berjaya menahan suspek di sebuah kampung kira-kira jam 10.40 malam, kelmarin,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihak polis akan membuat permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Lahad Datu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dzulbaharin menegaskan pihaknya memandang serius jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan remaja, selain menyeru masyarakat agar segera menyalurkan maklumat kepada polis bagi membanteras jenayah seumpama ini.

DITAHAN …. Suspek berjaya ditahan di sebuah rumah di ladang berkenaan.