Laungan merdeka harus selari dimensi pembangunan – Masiung

TONGOD: Sejarah kemerdekaan wajar dihayati oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang dan golongan usia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah sehubungan itu berkata, generasi muda harus mengetahui bahawa kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil perjuangan pemimpin kita yang terdahulu.
Katanya, di Malaysia rakyat bebas dari cengkaman penjajah tanpa pertumpahan darah. Tidak seperti negara-negara lain di dunia, di mana rakyatnya terpaksa memikul senjata untuk menuntut kemerdekaan.
“Laungan merdeka sahaja tidak bermakna jika kita tidak menyelami dimensi pembangunan dan sosio ekonomi negara yang menjurus kepada kestabilan masyarakat pelbagai kaum, ” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan pelepasan Program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Dataran Terbuka Tongod, pagi kelmarin.
Menurut Masiung, ramai generasi muda pada hari ini beranggapan kemerdekaan hanya bebas daripada cangkaman penjajah melaungkan, slogan ‘merdeka’ dan mengebarkan Jalur Gemilang semata.
Namun katanya, golongan muda perlu sedar kemerdekaan jiwa dan minda wajar dipupuk melalui pembinaan jati diri yang dibentuk kepada empat aspek utama, iaitu agama, pendidikan, akhlak dan budaya.
Sementara itu Masiung , yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata, ledakan media sosial salah satu bentuk penjajahan baharu negara yang boleh mencetuskan kontroversi masyarakat jika ia tidak ditangani dengan serius.
Beliau melahirkan kebimbangan kewujudan berita-berita palsu dan vedio pendek disebarkan melalui laman sosial adalah ancaman kemerdekaan yang perlu diatasi.
Katanya, meningkatan polemik pelbagai platform media sosial seperti TikTok, Reel, WhatsApp dan Youtube untuk menyerang kerajaan dan sesebuah institusi boleh melemahkan tadbir urus negara yang sedang merdeka.
“Kandungan hantaran tidak ditapis ternyata dijadikan senjata tajam golongan tertentu untuk menyerang pihak lain yang mengundang fitnah dan hasutan,” tegasnya.
Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor dan Pegawai Daerah Tongod, Mohd Yuseri Yusof, adalah antara 1,000 warga Tongod yang hadir memeriah Kembara Merdeka Jalur Gemilang tersebut. -JT

KONVOI MERDEKA … Masiung menyempurnakan majlis pelepasan Konvoi Merdeka Jalus Gemilang di Tongod.