Capai 92 persatus KPI Hala Tuju SMJ 2024
Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah mencatat sejarah cemerlang apabila berjaya melaksanakan 11 daripada 12 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi tahun 2024 dengan pencapaian keseluruhan sebanyak 92 peratus.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pencapaian tersebut membuktikan komitmen tinggi warga JTU dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta menyokong agenda pembangunan negeri.
“Ini adalah hasil kerja keras, dedikasi dan budaya kerja cemerlang warga jabatan. Sebagai contoh, pungutan hasil tanah yang disasarkan sebanyak RM281 juta pada 2024 telah berjaya dilepasi dengan kutipan mencecah RM290.87 juta atau 104 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 JTU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Isnin.
Selain itu, Hajiji turut menegaskan pencapaian luar biasa JTU dalam memproses sebanyak 55,670 permohonan tanah berbanding sasaran 45,000 permohonan, serta pengukuran Tanah Adat Anak Negeri (NCR) seluas 17,701.50 hektar berbanding 15,000 hektar yang disasarkan.
“JTU juga berjaya mewartakan 82 tapak simpanan kampung, melepasi sasaran 80 tapak. Malah, pembangunan tiga sistem baharu dalam talian — Sistem Perlanjutan Lesen Pendudukan Sementara (TOL), Sistem Penguatkuasaan Tanah dan Aplikasi 3D Building — adalah bukti pendekatan progresif jabatan yang seiring dengan keperluan semasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan Program Pengukuran Tanah Adat Anak Negeri Sabah (PANTAS) yang kekal menjadi agenda utama kerajaan negeri bagi menjamin hak pemilikan tanah bumiputera.
“Sejak dilaksanakan pada 2011, Kerajaan Persekutuan melalui ICU Jabatan Perdana Menteri telah menyalurkan sebanyak RM251.34 juta bagi program ini. Sehingga Jun 2025, sebanyak 488,705 ekar melibatkan 70,436 lot tanah adat telah berjaya diukur,” jelasnya.
Menurut Hajiji, PANTAS memberi impak besar kerana membantu anak negeri Sabah memiliki tanah sendiri. “Usaha ini terus diperkasa melalui pelancaran Galeri Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) yang menjadi simbol dedikasi jabatan serta sumber ilmu dan inspirasi generasi akan datang,” ujarnya.
Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua penerima APC 2024, sambil mengingatkan agar pengiktirafan itu dijadikan pendorong untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan awam.
“Budaya kerja kreatif dan inovatif perlu sentiasa dipupuk bagi memastikan sistem penyampaian lebih mantap dan berkesan. Komitmen berterusan amat penting untuk memastikan Sabah terus melangkah maju selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” tegas beliau.










