Dexter Lau dilantik Penasihat Kehormat MCWEA

Oleh JOHN TAMBANAN

KOTA KINABALU: Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia–China (MCCC) Sabah, Datuk Dexter Lau dilantik sebagai Penasihat Kehormat Persatuan Usahawan Wanita Cina Malaysia (MCWEA).

Pelantikan tersebut dianggap sebagai pengiktirafan tinggi terhadap usaha berterusan beliau dalam mempromosikan kerjasama ekonomi serta menyokong pertumbuhan usahawan wanita. Ia juga melambangkan sinergi mendalam antara MCWEA dan MCCC Sabah dalam memupuk kerjasama rentas sektor.

Dexter berkata, wanita bukan sahaja memainkan peranan penting dalam masyarakat dan pembangunan ekonomi, malah memiliki ketahanan, keazaman, daya inovasi, ketelitian dan visi jangka panjang.

“Jika komuniti perniagaan dapat memanfaatkan sepenuhnya kekuatan unik wanita, ia pasti menyuntik kepelbagaian dan daya tahan yang lebih besar ke dalam ekonomi negara dan serantau,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa dalam landskap ekonomi global yang sentiasa berubah, usahawan wanita perlu proaktif menerima trend baharu, memanfaatkan platform rentas sempadan, memperkukuh hubungan antarabangsa dan meneroka peluang pertumbuhan lebih luas.

Pengiktirafan itu disampaikan semasa beliau menghadiri Majlis Pelantikan Kepimpinan dan Forum Perniagaan bertemakan “Menghargai Ketahanan, Mendorong Perubahan” yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Acara berkenaan menghimpunkan usahawan wanita Cina, usahawan muda serta pemimpin perniagaan dari seluruh negara, sekali gus menyerlahkan pengaruh wanita yang semakin meningkat dalam dunia perniagaan.

Majlis turut menyaksikan pelantikan barisan kepimpinan baharu MCWEA, termasuk peguam Yong Siew Lee yang juga ahli MCCC Sabah. Beliau dilantik sebagai Naib Presiden MCWEA serta Timbalan Presiden Cawangan Selangor & Kuala Lumpur.

Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Presiden MCWEA Datin Sri Jessie Wong, Timbalan Presiden Lenny Chiah serta wakil usahawan wanita dari seluruh negara yang bersama-sama menyaksikan detik bersejarah ini.

LENCANA …. Jessie Wong (kanan) menyampaikan lencana nama MCWEA kepada Dexter Lau (tengah) , menandakan pelantikan rasmi beliau sebagai Penasihat Kehormat MCWEA.