Insiden di Pulau Timba-Timba cetus kebimbangan

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) menyuarakan kebimbangan serius berhubung insiden terbaharu yang berlaku di Pulau Timba-Timba.
Menterinya, Datuk Seri Christina Liew, bagaimanapun menjelaskan bahawa pulau berkenaan tidak termasuk dalam kawasan yang diletakkan di bawah pengurusan atau penguatkuasaan Taman-Taman Sabah.
“Walaupun begitu, susulan insiden tersebut, pihak kementerian sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan siasatan menyeluruh dijalankan.
“Kementerian dimaklumkan pejabat daerah dan majlis daerah telah melaksanakan tindakan sewajarnya untuk menghalang pihak tertentu menjalankan urus niaga tanpa kebenaran di pulau itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Christina, sebelum ini notis pengusiran telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan terhadap penghuni haram di pulau berkenaan.
“Semua perniagaan di pulau itu wajib mematuhi syarat yang ditetapkan. Mana-mana pihak yang tidak berlesen atau tidak memiliki lesen tidak boleh dibenarkan menjalankan sebarang perniagaan mahupun diberi kuasa mengutip bayaran,” tegasnya.
Beliau menegaskan tindakan tegas daripada semua agensi berkenaan amat diperlukan bagi memastikan keselamatan pelancong di Sabah terus terjamin, sambil melahirkan rasa kesal kerana insiden pergaduhan berlaku di destinasi pelancongan.
“Kita dimaklumkan pihak polis telah menahan individu yang terlibat dalam pergaduhan di Pulau Timba-Timba. Adalah diharapkan kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya.
Christina turut menasihati semua pengusaha pelancongan agar mengutamakan aspek keselamatan serta mengelak membawa pelancong ke lokasi yang berisiko, sambil menambah: “Kita menggesa semua pihak berganding bahu bagi memastikan pengalaman pelancong di Sabah adalah selamat.”

CHRISTINA LIEW
GADUH …. Sekumpulan lelaki dirakam bergaduh dalam kejadian di Pulau Timba-Timba.