18,000 belia dijangka hadiri pelancaran Skuad Anak Sabah Okober tahun ini

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Kira-kira 18,000 generasi belia dijangka akan menghadiri majlis pelancaran rasmi Skuad Anak Sabah yang bakal diadakan awal Okober tahun ini.
Majlis pelancaran itu dijangka akan dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menandakan bermulanya satu gerakan besar anak jati Sabah dalam memperjuangkan kebajikan dan kepentingan masyarakat negeri ini.
Timbalan Presiden II Skuad Anak Sabah, Dato Sri Norhaiza Abu Bakar berkata, Skuad Anak Sabah merupakan wadah yang menghimpunkan barisan anak jati Sabah bagi memperkukuhkan suara rakyat, menyampaikan amanat serta kepentingan sosial masyarakat kepada pentadbir negeri dan negara.
“Di samping menjadi jambatan kerjasama antara generasi muda, belia, dewasa dan warga emas,” katanya pada sidang media, di sini.
Turut hadir David Ng Chi Fong, Naib Presiden 1 Skuad Anak Sabah dan Marlina Madjid, Naib Presiden 11 Skuad Anak Sabah.
Norhaiza berkata, matlamat utama penubuhan Skuad Anak Sabah adalah untuk menjalankan aktiviti kebajikan, amal dan bantuan derma kepada golongan memerlukan.
“Menyediakan jaringan kerjasama sosial dalam kalangan masyarakat, memperkasa tenaga sukarelawan untuk membantu kebajikan rakyat, menyemarakkan semangat patriotisme anak jati Sabah dan mempromosikan kepelbagaian etnik masyarakat Sabah,” katanya.
Katanya, penubuhan Skuad Anak Sabah digerakkan berlandaskan empat teras iaitu melibatkan semua lapisan masyarakat dalam program kemasyarakatan.
Menyemai kecintaan terhadap negeri Sabah dan Malaysia melalui program berteraskan semangat patriotik. Mengukuhkan penglibatan setiap etnik Sabah agar kepentingan dan isu mereka didengari serta diselesaikan.
Menjadi perantara ahli berdaftar dengan kerajaan negeri dan persekutuan melalui inisiatif kebajikan, pendidikan, keusahawanan serta faedah asas.
Norhaliza berkata, pelancaran rasmi Skuad Anak Sabah dijangka menjadi titik tolak kepada gerakan anak jati Sabah dalam memperkukuhkan jaringan kebajikan dan perpaduan masyarakat.
“Disamping mengangkat semangat patriotisme dan pemerkasaan belia serta ahli pertubuhan agar terus menjadi aset pembangunan negeri,” katanya.

SIDANG MEDIA …. Norhaiza (tengah) ditemani David (kiri) dan Marlina (kanan)semasa sidang akhbar.