Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 61 tahun ditahan polis, selepas disyaki mengeluarkan kenyataan mengugut pakar patologi Dr Jessie Hiu menerusi laman sosial.
Kenyataan itu dipercayai dikeluarkan kerana tidak berpuas hati berhubung pernyataan yang dibuat semasa prosiding inkues kematian pelajar Zara Qairina Mahathir.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 7.00 pagi tadi (kelmarin) di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.
Katanya, penahanan itu dibuat selepas polis menerima laporan pada 5 September lalu berhubung ugutan yang dimuat naik melalui akaun Facebook menggunakan nama ‘Amung Kamaruddin’.
“Kenyataan tersebut berunsur jenayah ugutan serta penyalahgunaan kemudahan rangkaian terhadap pakar patologi berkenaan dari Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Jauteh berkata, polis turut merampas telefon bimbit jenama Redmi daripada suspek dan hasil semakan awal mendapati gajet tersebut digunakan bagi mengendalikan akaun Facebook ‘Amung Kamaruddin’ yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap pakar patologi berkenaan.
Dalam pada itu, Jauteh menasihatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab.
Katanya, masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak memuat naik kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau menimbulkan keresahan masyarakat.
“Orang ramai perlu sentiasa berfikir sebelum berkongsi apa-apa kandungan di media sosial.
“PDRM memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan,” katanya.







