Seorang cedera parah dalam kemalangan dua lori di Sandakan

Oleh JAMES LEONG


SANDAKAN: Seorang lelaki parah dalam kemalangan membabitkan dua lori berhampiran Jalan Sakilan Desa, Batu 21, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 pada jam 5.02 pagi.
Seramai tujuh anggota BBP Sandakan diketuai Komander Operasi PBK I Alan Ayuh bergegas ke lokasi sejauh 34 kilometer dan tiba pada jam 5.39 pagi.
Kemalangan membabitkan sebuah lori tangki minyak dan lori baja. Pemandu lori baja, lelaki tempatan berusia 31 tahun, tersepit di dalam kenderaan akibat impak kuat.
Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang mengalami kecederaan parah.
Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 7.35 pagi sebelum diberikan rawatan awal oleh unit EMRS BBP Sandakan dan seterusnya diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke hospital.
Operasi ditamatkan pada jam 7.46 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
Turut membantu dalam operasi ialah empat anggota polis dan tiga petugas ambulans KKM.

NAHAS …. Lokasi kemalangan dua lori di Sandakan, semalam.