45 botol cecair dan serbuk disyaki daun ketum dirampas

Oleh FARDY BUNGGA


TAWAU: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya merampas 45 botol cecair dan serbuk disyaki daun ketum dalam operasi Ops Tapis yang dijalankan di sebuah rumah di Kampung Pukat Tanjung Batu Laut, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, serbuan dilakukan hasil risikan berhubung kegiatan penyalahgunaan bahan terlarang di kawasan berkenaan.
Katanya, ketika serbuan dilakukan, pihak polis menemukan lima lelaki berada di lokasi serbuan dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan fizikal terhadap semua suspek pada awalnya tidak menemui sebarang barang salah.
“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah diserbu berjaya menemukan sejumlah bahan disyaki ketum,” katanya dalam satu kenyataan.
Jasmin berkata, polis menemukan sebanyak 45 botol berisi cecair disyaki air ketum yang disimpan di dalam sebuah peti di rumah berkenaan.
“Selain itu, sebuah kotak coklat turut ditemukan mengandungi 10 paket plastik lutsinar berisi serbuk halus dipercayai daun ketum yang telah diproses untuk tujuan pengedaran.
“Semua rampasan bersama lima lelaki terbabit kemudian dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” jelas beliau.
Jasmin turut menegaskan bahawa polis akan terus mempergiatkan operasi membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran bahan terlarang, termasuk ketum, di daerah Tawau.
“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.

DITAHAN …. Lima suspek ditahan bersama 45 botol dan serbuk disyaki daun ketum.