Sembilan lelaki ditahan dalam serbuan dadah di Sandakan

Oleh JAMES LEONG


SANDAKAN: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJN) Sandakan melancarkan beberapa serbuan bagi membanteras kegiatan dadah dalam Ops Gempur Khas Sabah No. 02/2025.
Pada 28 September jam 11.30 malam, enam lelaki ditahan dalam serbuan di kawasan setinggan Kampung Forest, PPR Taman Harmoni dan Bandar Letat Jaya, Batu 3.
Seorang ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, seorang lagi di bawah Seksyen 39A(1), manakala empat yang lain di bawah Seksyen 12(2) akta sama.
Polis turut merampas sebuah bot dan sebatang kayu pendayung di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Operasi diteruskan keesokan harinya pada 29 September jam 2.30 petang di kawasan setinggan Kampung Tinusa 2, Batu 7 dan Kampung Kagayan, Batu 8.
Tiga lelaki ditahan, dua daripadanya disyaki terlibat mengedar syabu di bawah Seksyen 39A(2), manakala seorang lagi disyaki penagih dadah.
Sebuah pondok dipercayai digunakan sebagai sarang penagihan syabu di Kampung Tinusa 2 turut dirobohkan.
Kesemua sembilan suspek dibawa ke pejabat BSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk ujian air kencing.
Hasil ujian mendapati kesemuanya positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine, di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut. Serbuan ini dilaksanakan selaras dengan komitmen Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, dalam usaha membanteras jenayah dadah di daerah ini.

SARANG DADAH …. Pondok dipercayai sarang penagihan syabu di Kampung Tinusa 2, Sandakan,
yang dirobohkan polis.