Oleh JAMES LEONG
TAWAU: Pasukan Polis Marin Tawau berjaya menggagalkan cubaan menyeludup rokok seludup dengan menahan seorang warga asing dalam satu serbuan malam Isnin.
Operasi yang dijalankan oleh Unit Risikan Polis Marin Tawau itu dilakukan sekitar jam 10.45 malam di Kampung Sungai Buaya.
Dalam serbuan tersebut, anggota polis marin menemui dan merampas 66 kotak berisi pelbagai jenama rokok seludup yang disembunyikan dalam bungkusan plastik hitam.
Komander Polis Marin Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim, mengesahkan bahawa seorang warga asing bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai digunakan untuk mengangkut barangan haram itu telah ditahan bagi siasatan lanjut.
“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk rokok dan kenderaan dianggarkan bernilai RM63,240,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes kini disiasat di bawah Akta Kastam 1967. Suspek ditahan kerana memiliki dan menyimpan barangan larangan tanpa kebenaran pihak berkuasa yang berkaitan.

DITAHAN …Suspek ditahan bersama rokok seludup dan kenderaan pacuan
empat roda untuk siasatan.




