Oleh JAMES LEONG
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Tawau berjaya menahan sebuah bot kargo yang membawa 54 silinder gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi tanpa permit dalam satu operasi awal pagi Isnin.
Kejadian berlaku sekitar jam 5.30 pagi di perairan berhampiran Batu 3 dan dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan rentas sempadan.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, sebuah bot peronda APMM yang menjalankan Ops Sejahtera, Ops Pluto Timur dan Ops Tiris telah mengesan bot kargo mencurigakan itu ketika ia baru berlepas dari pesisir pantai menuju ke perairan antarabangsa.
“Namun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, nakhoda bot terbabit bertindak melarikan diri dengan memecut laju ke arah pantai sebelum meninggalkan bot dan muatannya bagi mengelak ditahan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Pemeriksaan lanjut terhadap bot yang ditinggalkan itu menemui 54 silinder gas LPG yang penuh tanpa sebarang dokumen sah. Usaha mencari suspek di kawasan sekitar tidak berhasil.
Bot bersama muatannya dibawa ke jeti APMM Tawau untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, enjin dan silinder gas dianggarkan melebihi RM52,000.
Menurut Ariffin, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam sindiket penyeludupan barang kawalan ke negara jiran.
Beliau menegaskan bahawa APMM akan terus mempergiat pemantauan ke atas jeti-jeti tidak sah yang sering digunakan oleh sindiket serta meneruskan rondaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan rentas sempadan.
Orang awam turut diseru menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah maritim di perairan Tawau dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau MERS 999.







