Oleh JAMES LEONG
TAWAU: Pasukan penyelamat bergegas ke dua lokasi kemalangan berasingan di Tawau dan Semporna yang mengakibatkan seorang maut dan seorang lagi cedera.
Kemalangan maut berlaku sekitar jam 11.45 pagi pada 22 Oktober di Jalan Apas Balung berhampiran Kampung Sungai Burung, Tawau, membabitkan sebuah kereta Perodua Bezza dan lori tangki.
Siasatan awal mendapati lori tangki yang dipandu lelaki tempatan berusia 36 tahun dan membawa muatan minyak sawit mentah dalam perjalanan dari Merotai ke Kunak.
Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit dipercayai telah masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bahagian hadapan kanan lori tangki berkenaan.
Impak pelanggaran menyebabkan lori tangki tersebut terbabas ke pembahagi jalan sebelah kanan dan terbalik, manakala kereta terbabit tercampak semula ke laluan asalnya.
Pemandu kereta, seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Balung, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya hingga menyebabkan kematian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh, meminta orang awam yang mempunyai maklumat atau rakaman dashcam berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan mematuhi had laju bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Dalam kejadian berasingan, Balai Bomba dan Penyelamat Semporna menerima panggilan kecemasan pada 6.11 pagi, 23 Oktober berhubung satu kemalangan di Jalan Semporna-Pegagau.
Sebaik tiba di lokasi pada 6.43 pagi, pasukan bomba mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis double cabin terbabas dan terbalik kira-kira 50 meter dari jalan utama.
Seorang pemandu wanita berusia lingkungan 30-an berjaya dikeluarkan dari kenderaan sebelum dibawa ke hospital oleh ambulans untuk rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan pada 7.40 pagi selepas pasukan bomba mengesahkan tiada mangsa lain terlibat.





