KOTA BELUD: Dalam suasana penuh mesra, Tan Sri Pandikar Amin Mulia (TSPA), tokoh politik berpengaruh Sabah yang pernah digelar “jeneral empat bintang” dalam arena politik nasional, kembali menyantuni masyarakat Tamau-Pintasan menerusi program Ziarah Kasih Santunan Budi yang berlangsung meriah di sini.
Kehadiran beliau mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat yang mengibaratkan hubungan mereka dengan TSPA sebagai “bagai aur dengan tebing, bagai irama dengan lagu, bagai isi dengan kuku.” Walaupun pernah terpisah oleh pergolakan dan dinamika politik semasa, ikatan persaudaraan dan rasa hormat masyarakat Tamau terhadap beliau dilihat masih utuh.
Program tersebut turut menyaksikan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat — warga emas, wanita dan golongan belia — yang menzahirkan rasa rindu terhadap kepimpinan dan keprihatinan TSPA, atau lebih mesra dipanggil “Pamin” dan “Padila” dalam kalangan penduduk tempatan.
“Kami rindu kehadiran Pa Min. Beliau bukan sahaja pemimpin, tetapi simbol kekuatan dan harapan kami,” ujar seorang penduduk dengan penuh emosi.
Ada juga dalam kalangan penduduk yang mengakui kekesalan kerana tidak memilih beliau pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16), ekoran kekeliruan akibat kempen pihak lawan, sehingga menyebabkan mereka terlepas peluang mengekalkan seorang pemimpin yang mereka anggap memahami aspirasi rakyat di peringkat akar umbi.
Seorang warga emas Tamau turut menegaskan bahawa TSPA sering disalahertikan sebagai pemimpin tegas dan garang, namun hakikatnya beliau seorang yang peramah, rendah hati dan mudah didekati.
“Beliau tidak sombong. Kalau jumpa di kedai kopi, dia tetap duduk dan berbual seperti orang biasa,” katanya.
Kini dalam lingkungan usia 70-an, semangat dan kesungguhan TSPA untuk terus berkhidmat dilihat masih membara. Beliau terus aktif turun padang, berkongsi pandangan serta gagasan pembangunan, khususnya dalam memperjuang martabat suku bangsanya dan mengangkat suara Sabah ke peringkat nasional.
TSPA, yang pernah berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, masih dianggap seorang tokoh politik disegani kawan dan lawan. Kepulangannya ke gelanggang politik tempatan dilihat sebagai tanda kebangkitan semula — bukan sekadar nostalgia, tetapi harapan baharu bagi masyarakat Pintasan dan Sabah secara keseluruhan.







