Tidak mustahil bagi PKDM meraih kemenangan mengejut di Kiulu

TUARAN: Walaupun dilabel sebagai ‘underdog’, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) optimis parti yang buat pertama kali bertanding itu mampu melakukan kejutan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu dalam Pilihan Raya Umum Negeri Sabah ke-17.
Naib Ketua Penyelaras KDM Kiulu, Joluin Jairuh berkata bilangan pengundi yang menyatakan sokongan terhadap calon KDM Kiulu, Henry Saimpon, semakin meningkat dari sehari ke sehari.
“Dalam usaha meraih sokongan untuk KDM jelas sekali kebelakangan ini Henry semakin diterima pengundi Kiulu,” katanya selepas Program Santai bersama penduduk Kg Pahu, Kiulu, pada Ahad.
Menurut Joluin, Henry juga merupakan seorang pemimpin yang berwibawa, berjiwa rakyat dan berpengalaman serta mesra rakyat, termasuk golongan orang muda.
“Nampaknya penduduk Kiulu lebih suka parti tempatan kali ini, jadi saya percaya, berdasarkan trend ini, parti KDM yang dianggap underdog mempunyai peluang untuk mencipta kejutan di Kiulu,” katanya.- JT

Joluin bersama Henry ketika menghadiri Program Santai bersama penduduk Kg Pahu, Kiulu, pada Ahad.