Tiga kejadian pokok tumbang hempap tiga kenderaan

KOTA KINABALU: Hujan lebat yang melanda sekitar bandaraya Kota Kinabalu pagi kelmarin menyebabkan tiga kejadian pokok tumbang dan mengakibatkan tiga kenderaan dihempap selain laluan utama terhalang seketika.
Kejadian pertama dilaporkan berlaku kira-kira jam 8 pagi itu di perkarangan Ibu Pejabat Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, apabila dua kenderaan jenis Proton Saga dan Proton Persona dihempap pokok tumbang.
Fenomena hujan lebat dan disertai angin kencang turut menyebabkan satu lagi kejadian pokok tumbang di kawasan Kilang Kolombong yang menyebabkan sebuah kereta Perodua Bezza turut dihempap pokok tumbang.
Manakala dalam kejadian berasingan, sebuah pokok turut dilaporkan tumbang di Jalan Tuaran, di sini, berhampiran Wisma Wanita, sehingga menyebabkan laluan utama di kawasan berkenaan terhalang sepenuhnya untuk dilalui kenderaan.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, sebaik menerima makluman, tiga pasukan operasi dikerah ke lokasi secara berasingan untuk membantu.
Katanya, operasi pembersihan bagi mengalihkan pokok tumbang terus dilaksanakan khususnya di jalan utama yang terjejas.
“Operasi mengalihkan pokok tumbang memakan masa hampir 30 minit sebelum laluan boleh dilalui kenderaan semula.
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam ketiga-tiga kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.
Sehubungan itu, Aizex berkata, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika cuaca tidak menentu.
“Pihak APM juga menasihatkan pengguna jalan raya agar mengelak daripada meletakkan kenderaan berhampiran kawasan berisiko tinggi seperti bawah pokok besar, terutama ketika hujan dan angin kencang,” katanya.-FB

DIHEMPAP POKOK …. Kenderaan di pekarangan Ibu Pejabat Jabatan Tanah dan Ukur dihempap pokok tumbang.