Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Victor P. Paut, yakin mampu menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan pada Pilihan Raya Umum Sabah yang dijadual berlangsung pada 29 November ini.
Victor berkata keyakinan itu bersandarkan kepada sokongan rakyat Tambunan terhadap GRS yang dilihat semakin meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
“Peluang GRS di Tambunan amat cerah kerana majoriti penduduk mahukan perubahan dalam kepimpinan.
“Mereka juga menuntut kemajuan dari segi ekonomi dan pembangunan kerana Tambunan sudah jauh ketinggalan berbanding daerah lain di Sabah,” katanya ketika ditemui selepas diumumkan sebagai calon GRS bagi DUN Tambunan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, di sini, pada Rabu.
Anak jati Kampung Lintuhun itu berkata, rakyat Tambunan kini memerlukan seorang pemimpin baharu yang mempunyai visi dan misi jelas untuk membawa daerah tersebut ke arah kecemerlangan.
Menurutnya, beliau bertekad untuk memajukan Tambunan melalui pendekatan menyeluruh yang menumpukan aspek ekonomi, sosial dan kemasyarakatan.
“Saya percaya ekonomi Tambunan mampu dilonjakkan melalui pertanian moden dan pelancongan. Tambunan mempunyai potensi besar dengan latar sejarah dan keindahan alam semula jadi yang boleh diketengahkan sebagai tarikan pelancongan,” katanya.
Victor turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi parti, khususnya Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk membawa panji GRS di Tambunan.
“Ini merupakan satu amanah besar dan saya akan galasnya dengan penuh tanggungjawab demi kemajuan rakyat Tambunan,” katanya.







