Bomba berjaya kawal kebakaran deretan lapan kedai di Tawau

Oleh JAMES LEONG

TAWAU: Satu kebakaran memusnahkan deretan lapan unit kedai kayu di Kampung Kinabutan Kecil Batu 4, di sini, awal pagi semalam.
Pusat Gerakan Operasi Kecemasan MERS999 menerima panggilan kecemasan pada jam 4.47 pagi.
Sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tawau tiba di lokasi pada jam 4.56 pagi selepas menempuh jarak sejauh 8 kilometer.
Seramai 12 anggota bomba diketuai Komander Operasi PBK II Sulaiman Md Sallah terlibat dalam operasi tersebut. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.25 pagi dan dipadam sepenuhnya pada jam 5.58 pagi.
Kejayaan mengawal kebakaran dalam tempoh 38 minit serta memadamkannya sepenuhnya dalam masa sejam 11 minit menunjukkan komitmen tinggi dan kecekapan pasukan bomba. Punca kebakaran masih dalam siasatan.

OPERASI MEMADAM API …. Anggota bomba berusaha memadam kebakaran deretan kedai di Tawau awal pagi Rabu.