Dua lelaki ditahan bersama kabel TM curi

Oleh FARDY BUNGGA


RANAU: Polis berjaya menahan dua lelaki dan merampas sejumlah kabel milik Telekom Malaysia (TM) yang disyaki dicuri dalam satu operasi penguatkuasaan trafik di Pekan Kundasang, semalam.
Kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 11 pagi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau yang sedang menjalankan operasi rutin di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud, berkata kedua-dua suspek berusia 39 dan 44 tahun yang menaiki Proton Gen 2 itu ditahan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan mereka berjaya menemui sejumlah kabel TM yang disyaki dicuri.
“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah. Mereka kini ditahan di IPD Ranau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan mencuri serta Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sehubungan itu, Mursalin menegaskan, pihak polis akan terus komited dan mempertingkatkan operasi penguatkuasaan di kawasan Ranau dan Kundasang.
Katanya, ia adalah usaha berterusan polis dalam membanteras jenayah serta penyalahgunaan dadah di daerah itu.

KABEL CURI …. Polis menemui sejumlah kabel milik Telekom Malaysia (TM) yang disyaki dicuri.
DITAHAN …. Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut.